
Topik Dinar Emas mula diperbualkan selepas Krisis Kewangan yang melanda Malaysia pada tahun 1998. Selepas itu, mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah mencadangkan negara-negara OIC untuk melakukan perdagangan dengan menggunakan Dinar Emas.
Kemudian, kewujudan Dinar Emas telah diperkenalkan secara rasminya dan diperdebatkan di Malaysia pada 19 Ogos, 2002 di satu persidangan antarabangsa bertajuk 2002 International Conference on Stable and Just Monetary System: The Viability of the Islamic Dinar yang dianjurkan Universiti Islam Antarabangsa di PWTC, Kuala Lumpur.
Hasil dari persidangan tersebut, kajian menyeluruh mengenai Dinar Emas telah dibentangkan oleh ramai ahli akademik dan profesional dari jurusan kewangan, ekonomi, syariah dan undang-undang. Kesemua kajian-kajian tersebut telah dikompilasikan dalam satu prosiding bertajuk Proceedings 2002 International Conference on Stable and Just Monetary System: The Viability of the Islamic Dinar.
Pada  awal pengenalan  Dinar Emas, ramai ahli kewangan dan ekonomi skeptikal  tentang kewujudan  Dinar Emas dan keupayaannya untuk menggantikan sistem  kewangan yang  sedia ada, yakni yang berasaskan wang kertas (paper currency).   Walaupun demikian, sekumpulan kecil penggiat Dinar tetap meneruskan   usaha mereka meyakinkan orang ramai tentang kebaikan Dinar.   Alhamdulillah, berkat usaha mereka ini, Dinar semakin diterima dan   diyakini terutama apabila tanda-tanda kehancuran ekonomi Amerika   Syarikat semakin jelas kelihatan. Kini, apabila keyakinan terhadap   matawang Dollar Amerika semakin rapuh, seluruh dunia semakin yakin   terhadap Emas. Di sesetengah negara seperti Indonesia, stok emas kehabisan  disebabkan para pelabur berpusu-pusu membeli emas (gold rush).   Secara tidak langsung, semakin ramai yang berminat menyimpan Dinar  Emas  disebabkan denominasinya yang kecil berbanding bullion.
Walaupun sudah 6 tahun berlalu dari persidangan pertama Dinar di Malaysia, masih ramai yang tidak jelas tentang kewujudannya. Maka disebabkan itu, banyak kekeliruan timbul dari segi spesifikasinya, mengapa Dinar Emas diperlukan dan bagaimana melaksanakannya. Soalan-soalan lazim seperti tidakkah berat membawanya, keselamatan menyimpannya, bagaimana untuk mendapatkannya dan bagaimana hendak menggunakannya akan cuba kami jawab. Oleh itu pihak kami mengambil inisiatif ini untuk menjelaskan dan menyampaikan maklumat mengenai Dinar Emas, perkembangannya dan perlaksanaannya kepada anda.
Kami  akan menyiarkan  kajian-kajian dan artikel-artikel yang ditulis oleh  para penggiat Dinar  Emas untuk dikongsi bersama anda. Selain dari itu,  kami akan memaparkan  program-program Dinar Emas yang terdahulu sama ada  dari segi audio,  video atau penulisan dan program-program terkini  untuk anda yang  berminat menghadirinya dan mengetahui lebih lanjut  mengenai Dinar Emas.
sumber: the gold dinar