Gold Investment

Perak ikut Kelantan perkenal dinar emas



Perak akan menjadi negeri kedua di negara ini menyediakan dinar emas dan dirham perak yang bertujuan mempelbagaikan penyimpanan kewangan rakyat. Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (gambar fail) berkata penyediaan matawang tersebut akan dilakukan dan perbincangan mengenainya telah pun dibuat dua tahun lalu.

“Kita juga dalam proses untuk mengeluarkan (matawang) itu, supaya boleh menjadi satu asas untuk simpanan rakyat,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Persidangan Riba Sedunia di sini hari ini.

Beliau berkata penyediaan sepenuhnya matawang tersebut akan dibuat sebaik semua proses dari segi rakabentuk dan sebagainya siap.

Proses menempa rekabentuk awal matawang tersebut telah dibuat di sebuah syarikat di negeri itu, katanya.

Ditanya sama ada penyediaannya akan mengikut model yang diperkenalkan di Kelantan pada 12 Ogos lepas, Zambry berkata negeri itu akan menggunakan pendekatan yang berlainan.

“Sebenarnya kita yang memulakan dahulu dari segi perbincangan dan juga proses, tetapi Kelantan telah memperkenalkannya terlebih dahulu, tetapi apa jua kerja baik tak apalah, mungkin kita akan gunakan pendekatan-pendekatan yang lain,” katanya.

Namun Zambry berkata pelaksanaannya tertakluk kepada undang-undang dan peraturan negara dan Bank Negara.

“Apa-apa pun yang kita buat jangan sampai bercanggah dengan undang-undang dan peraturan,” katanya.

Terdahulu ketika berucap menutup persidangan itu, beliau berkata Perak telah mengiktiraf bahawa emas merupakan satu simpanan nilai yang baik.

Beliau percaya bahawa oleh kerana emas telah memainkan peranan sebagai wang di seluruh dunia, nilainya dijangka meningkat ketika ada krisis.

“Dengan membuat simpanan mereka dalam emas dan perak, orang ramai boleh melindungi nilai simpanannya daripada susut nilai.” – Bernama


sumber: http://www.kl-today.com/?p=5655